SEPERTI mana yang diketahui, setiap syarikat berdaftar di bawah Akta Syarikat 1965, perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang atau lebih setiausaha syarikat. Ini menunjukkan pentingnya peranan setiausaha syarikat bagi memastikan syarikat serta pengarah dan pegawai mematuhi peruntukan perundangan dalam mencapai matlamat perniagaan masing-masing.
Sebelum melihat lebih jauh, adalah baik diterangkan secara terperinci Kod Etika Setiausaha Syarikat yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berdasarkan kepada prinsip-prinsip ketelusan, integriti, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban.
Dalam menjalankan tanggungjawab, seseorang setiausaha syarikat hendaklah sentiasa mematuhi kod etika di atas yang di antara lainnya menggariskan:-
1. Berusaha bersungguh-sungguh ke arah profesionalisma yang kompeten dan pada setiap masa mempamerkan kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan tugas dan kewajipan jawatannya;
2. Sesungguhnya, pada setiap masa melaksanakan kuasanya dengan suci hati, bertindak dengan bertanggungjawab, jujur serta berhati-hati dan penuh ketekunan di dalam menunaikan kewajipan jawatannya;
3. Mempunyai kefahaman yang jelas tentang matlamat dan tujuan syarikat serta kuasa dan sekatannya seperti yang diperuntukkan di dalam Memorandum dan Perkara-Perkara Persatuan syarikatnya;
4. Mempunyai pengetahuan mengenai peraturan-peraturan dan kaedah-kaedah mesyuarat, khususnya kehendak-kehendak mengenai korum, pengundian dan peruntukan-peruntukan berkaitan proksi dan bertanggungjawab untuk mentadbir mesyuarat dengan teratur;
5. Mengamalkan sikap yang objektif dan positif serta memberi kerjasama sepenuhnya demi kebaikan bersama apabila berurusan dengan pihak berkuasa kerajaan atau badan-badan yang mengawal selia;
6. Memberitahu ahli lembaga pengarah atau pegawai awam yang sewajarnya apa-apa maklumat diketahuinya, yang dia dengan jujur mempercayai bahawa sesuatu penipuan sedang atau akan dilakukan oleh syarikatnya atau oleh mana-mana pengarah atau kakitangan syarikatnya;
7. Membantu dan menasihati pengarah-pengarah bagi memastikan bahawa pada setiap masa syarikatnya menyenggara suatu sistem kawalan dalaman yang berkesan bagi menyimpan daftar-daftar dan rekod-rekod perakaunan yang sepatutnya;
8. Sentiasa bersikap saksama dalam hubungannya dengan pemegang saham, pengarah dan tanpa berat sebelah berusaha sedaya upaya untuk memastikan pengarah dan syarikatnya mematuhi perundangan yang berkaitan, tanggungjawab kontrak dan kehendak lain yang berkaitan;
9. Menasihati lembaga pengarah syarikatnya supaya tidak menerima pakai polisi yang bertentangan dengan kepentingan stakeholder syarikat;
Pematuhan kod kelakuan di atas dapat membantu setiausaha syarikat menjalankan tugas dan tanggungjawab beliau dengan cekap dan efisien.
Ia juga akan meningkatkan piawaian pentadbiran korporat dan menanamkan semangat profesionalisma dan keberkesanan tugas di kalangan setiausaha syarikat.
Selain itu, SSM juga telah memperkenalkan Kod Etika Pengarah sebagai usaha mewujudkan satu garis panduan kepada para pengarah di dalam menjalankan tugas serta cara-cara meningkatkan prestasi dan nilai syarikat.
Sebagai penasihat kepada ahli lembaga pengarah, setiausaha syarikat perlu arif tentang kod etika ini yang menggariskan prinsip yang perlu dipatuhi oleh pengarah syarikat di dalam mentadbir syarikat.
Sebagai setiausaha syarikat yang berwibawa, mereka bukan sahaja perlu mengetahui serta memahami kandungan kod etika tersebut, malah perlu mendidik ahli lembaga pengarah mengenai prinsip-prinsip yang terkandung di dalamnya.
Selain daripada dua kod etika yang perlu difahami dan diikuti seperti di atas, setiausaha syarikat juga perlu memahami serta mendalami aplikasi Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia yang menggariskan kaedah tadbir urus korporat yang efisien.
Di Malaysia, melaksanakan tadbir urus korporat yang tinggi piawainya adalah merupakan satu "trend" yang semakin diterima umum.
Pembaharuan yang telah dilakukan sekarang ini adalah tepat dan berada pada landasan yang betul.
Malah, sekarang ini wujud kesedaran yang tinggi di kalangan sektor korporat mengenai kepentingan tadbirurus yang baik.
Pada masa yang sama cadangan telah dibuat untuk melindungi setiausaha dan pegawai syarikat dari tindakan tidak adil oleh pengarah yang tidak beretika.
Ini akan membolehkan, setiausaha syarikat menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna dan teratur berpandukan kepada Kod Etika yang sedia ada dan berlandaskan amalan tadbir urus korporat yang terbaik di samping pemahaman yang mendalam mengenai Akta Syarikat 1965 serta lain-lain perundangan berkaitan.
Ini akan menggalakkan pengarah, setiausaha syarikat dan pegawai syarikat bekerjasama antara satu sama lain, berganding bahu untuk mencapai matlamat kewangan organisasi masing-masing dan menambah nilai pemegang saham.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_02.htm#ixzz2uszIwPCp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment